Monday, 30 May 2011

Sembahyang Selepas Berpijak Lantai Yang Diragui Kebersihan

No comments:
8 Oktober 2010. Mungkin ada diantara jemaah kita yang berpegalaman singgah sembahyang ditempat-tempat tertentu yang lantainya dilihat "tidak bersih". Keadaan ini menimbulkan keraguan kepada sahnya sembahyang yang didirikan. Disini dikongsi fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. untuk tatapan pembaca sekelian.
Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam memutuskan bahawa kedudukan sembahyang seseorang (selepas mengambil air sembahyang) beliau menuju ke tempat bilik sembahyang memijak lantai yang diragui kebersihannya adalah sah.
Sebahagian huraian dan alasan adalah seperti berikut:
Terdapat perbezaan diantara perkataan "bersih" dan "najis" dari sudut Islam. Walau bagaimanapun, sama ada seorang itu ragu tentang kebersihan lantai yang dipijaknya atau ragu tentang kenajisan lantai itu tidaklah menyebabkan tidak sah sembahyang seseorang itu, namun perkataan "najis" dan "tidak bersih" mempunyai makna yang tersendiri.
Najis ialah benda-benda yang dianggap kotor oleh syara', kotor yang boleh membatalkan sembahyang walaupun ianya dianggap bersih oleh manusia. Apabila tubuh badan, pakaian atau tempat sembahyang kena najis, wajib dibasuh kerana benda-benda itu menghalang sah sembahyang.
Mengenai "bersih" atau kebersihan, walaupun maknanya "tidak kotor" dan "suci", namun dari segi pengaruh hukumnya adalah berbeza kerana tiap-tiap yang najis itu bererti tidak bersih, kotor atau tidak suci, seperti anjing dan babi, darah, bangkai atau benda-benda yang keluar dari dubur dan qubul.
Memandangkan adanya perbezaan ini, maka perlulah seseorang itu mengenali apa dia benda-benda najis atau yang kotor dalam pandangan syara' kerana yang bernajis itulah yang dianggap tidak bersih oleh syara' dan inilah yang boleh menjejaskan kesahihan sembahyang.
Sedangkan "tidak bersih" tidak semestinya najis, seperti baju atau pakaian yang kena lumpur tanah, terkena kuah lauk dan seumpamanya. Pakaian itu boleh dipakai dan dibawa sembahyang. Sembahyang dengan baju yang kena lumpur tanah adalah sah, berlainan apabila terkena najis. Benda-benda najis menghalang sah sembahyang, manakala benda-benda tidak bersih tetapi tidak najis, tidak menghalang sah sembahyang.
Adapun mengenai kedudukan sembahyang seseorang yang ragu atau syak tentang kebersihan, sekalipun ragu atau syak tentang najis, maka keraguan atau syak itu tidak menjejaskan hukum yang boleh menyebabkan sembahyang tidak sah kerana berdasarkan kaedah hadith Rasulullah yang bermaksud:
    Apabila salah seorang di antara kamu merasakan sesuatu di dalam perutnya, kemudian dia merasa ragu, adakah telah keluar sesuatu dari perutnya itu atau tidak, maka janganlah dia keluar dari masjid sehingga dia mendengar bunyi atau mendapati sesuatu bau. (Hadis riwayat Muslim)
Dalil lain lagi bagi kaedah ini ialah daripada Abdullah bin Zaid, katanya: "Ada seorang lelaki mengadu kepada Nabi S.A.W. dia berasa terkhayal adakah dia berhadas semasa menunaikan sembahyang." Maka Sabda Baginda, bermaksud:
    Janganlah dia meninggalkan sembahyangnya sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Baginda lagi bermaksud:
    Daripada Abu Said Al-Khudri berkata: "Bersabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam: "Jikalau syak salah seorang kamu dalam sembahyangnya dan dia tidak tahu berapa jumlah rakaat dia telah sembahyang, adakah tiga (rakaat) ataupun empat, maka buangkan yang syak dan hendaklah dibina atas apa yang dia yakini". (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment

 
back to top